Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. إِلهَنَا إِنْ كُنْتَ قَبِلْتَ تَوْبَتَنَا وَغَفَرْتَ حُوْبَتَنَا فَأَكْرِمْنَا بِالفَهْمِ وَالحِفْظِ حَتَّى َنَحْفَظَ كُلَّ مَا سَمِعْنَا مِنَ العِلْمِ وَالقُرْءَانِ إِلَهَنَا أَكْرِمْنَا بِحُسْنِ الصَّوْتِ وَالنَّغَمَةِ حَتَّى أَنَّهُ مَنْ سَمِعَ قِرَآءَتَنَا يَزْدَادُ رِقَّةً فِيْ قَلْبِهِ إِنْ كَانَ قَاسِيَ القَلْبِ. إِلَهَنَا أَكْرِمْنَا بِالرِّزْقِ الحَلاَلِ وَارْزُقْنِا مِنْ حَيْثُ لاَ نَحْتَسِبُ Ya Allah, bila Engkau terima taubatku dan Engkau ampunkan dosaku, maka berilah aku kemuliaan dengan mudah faham dan mudah hafal sehingga aku dapat menghafal semua ilmu yang ku dengar dan juga ayat-ayat al-Quran. Ya Allah, berilah aku kemuliaan dengan suara yang merdu, sehingga sesiapa yang mendengar bacaanku, hatinya akan menjadi lembut meskipun ia seorang yang keras hati. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku rezeki yang halal dan juga kunjungan rezeki yang tidak kusangka-sangka. Aamiin ya Rabbal 'Alamin.

REFLEKSI


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan kekuatan fizikal dan kecerdasan mental kepada saya sehingga saya dapat menyiapkan tugasan kerja kursus pendek bagi subjek EDU3105 Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

          Terdapat 3 tugasan utama dalam tugasan subjek EDU3105 ini iaitu membuat rancangan pengajaran harian dan membuat BBM berbentuk pengajaran berasaskan web (PWB) serta sebuah penulisan yang berkaitan dengan prinsip-prinsip reka bentuk dalam pengajaran dan pembelajaran. Berkat tunjuk ajar En. Abdul Razak Nawi yang merupakan pensyarah pembimbing kami dalam matapelajaran ini, Alhamdulillah kedua-dua tugasan ini dapat saya siapkan dengan mudah. Sejujurnya sebelum ini saya tidak pernah membangunkan sebuah laman web, walaupun berbentuk pendidikan.

          Dalam penghasilan rancangan pengajaran harian (RPH) dan bahan bantu mengajar (BBM) yang telah saya sediakan kepada murid-murid saya, saya memilih tajuk dalam subjek major saya Bahasa Arab Pendidikan Rendah iaitu tajuk ‘Usrah Saidah’ (Keluarga Bahagia) dalam sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah Tahun Dua. Dalam RPH ini, saya cuba meneliti setiap fasa untuk mencari ruangan yang sesuai bagi memasukkan video pendidikan sebagai BBM dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Terdapat beberapa fasa di dalam RPH ini yang saya selitkan dengan video-video antaranya pada bahagian pengenalan tajuk, isi utama pembelajaran dan tindakan lanjutan selepas pembelajaran.

          Berdasarkan RPH ini, saya membuat video pendidikan yang bersesuaian dengan tajuk yang saya pilih. Terdapat tiga video yang kami hasilkan. Video pertama adalah tentang pengenalan ahli-ahli keluarga dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian adalah kerana pentingnya untuk mengetahui ilmu sedia ada murid sebelum memberi ilmu pengetahuan yang baru. Kedua, pengenalan ahli keluarga dalam bahasa Arab. Selepas murid mengingat pengalaman sendiri barulah mereka dapat mengaitkan dengan pembelajaran yang baru diterima. Video ketiga pula adalah tindakan lanjutan selepas mereka dapat menerima ilmu pengetahuan yang baru. Saya sangat mengharapkan agar BBM yang saya cuba sampaikan ini menarik minat dan bermanfaat kepada murid-murid.

          Tambahan lagi, semasa saya menyiapkan penulisan esei yang berkaitan dengan prinsip-prinsip reka bentuk, saya agak kekaburan dengan kehendak soalan namun dengan bantuan daripada rakan saya yang mencerahkan, minda saya kembali teringat akan sesi pengajaran dan pembelajaran kami bersama En. Abd Razak di dalam makmal. Antara manfaat yang diperoleh daripada Kerja Kursus Pendek ini ialah saya dapat mengingat kembali apa yang telah kami pelajari serta dapat mengamalkan dan menghayati komponen-komponen di dalam subjek EDU3053 yang berkaitan dengan prinsip-prinsip reka bentuk yang pelbagai ini dan dapat menyesuaikannya di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek major dan minor iaitu Bahasa Arab dan Pendidikan Islam. Selain itu, saya dapat faham tentang matlamat subjek Teknologi dalam Pendidikan ini diajarkan iaitu bagi memvariasikan serta memajukan kaedah pengajaran di dalam bilik darjah supaya pembelajaran dapat berlaku dengan menarik dan bermakna.

          Walaupun perasaan gembira dapat dirasakan setelah menyiapkan tugasan ini namun terdapat beberapa masalah kecil yang saya hadapi sepanjang menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah dalam mencari bahan pengajaran yang sesuai untuk diketengahkan kepada murid-murid. Bagi sahabat saya yang lain, mereka menggunakan kaedah melakonkan video itu sendiri. Namun bagi saya, saya memilih untuk menggunakan karakter yang dimainkan oleh kartun agar dapat menarik minat murid-murid. Masalah yang saya hadapi ialah semasa saya memikirkan identiti untuk setiap watak agar mudah bagi penonton mengenal pasti watak yang dibawa, contohnya datuk dan nenek yang memerlukan identiti warga tua. Oleh itu, saya melakarkan watak datuk dan nenek dengan meletakkan beberapa garisan kerut di dahi.

          Selain itu, istilah kerja kursus begitu sinonim sekali dengan kehidupan seseorang pelajar. Saya acap kali mendengar keluhan rakan-rakan saya dek timbunan kerja kursus yang melambak. Kebanyakan pelajar akan keluh-kesah tatkala berhadapan dengan tsunami tugasan di IPG ini. Namun, bagi saya semua itu adalah perkara normal dan perkara wajar yang harus dilalui oleh seseorang pelajar. Apa gunanya belajar kalau tiada kesusahan, apa gunanya nak berjaya kalau tak nak berkorban, dan apa maknanya jika kita nak berjaya, pemikiran negatif selalu sangat bersarang di minda? Dalam Islam sendiri ada menekankan bahawa kesenangan itu muncul setelah kesusahan. Jadi, saya tidak ingin mencampakkan diri saya ke dalam pemikiran negatif dalam melaksanakan tugasan ini. Pengurusan masa seseorang pelajar itu adalah yang paling dominan dan signifikan bagi menyiapkan tugasan-tugasan agar tiada tekanan negatif dan rengekan jengkel yang berbunyi, serta menyumpah serana KKP yang tidak bersalah itu.

          Selain itu, saya juga mengalami masalah untuk merakamkan pergerakan setiap watak kartun. Berdasarkan pengalaman membuat video karikatur yang digerakkan menggunakan tangan, saya cuba untuk mengelakkan kaedah yang sama kerana bayang yang dihasilkan dari tangan akan mengganggu proses rakaman. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memuat turun perisian screen capture untuk merakamkan pergerakan kartun yang dilakukan di dalam komputer sahaja. Oleh itu, saya hanya perlu menggunakan tetikus untuk menggerakkan karikatur di dalam komputer dan seterusnya membuat beberapa kali penyuntingan sebelum mendapatkan video yang diingini.

            Pengalaman dalam pembikinan kerja kursus ini sememangnya banyak membantu saya dalam menyiapkan diri untuk menjadi seorang guru kelak. Banyak ilmu baru yang saya dapat semasa menjalankan tugasan ini. Ketekunan dan kesefahaman sangat perlu dalam menghasilkan sesuatu kerja seperti ini. Berkat kesabaran dan kesungguhan membuahkan hasil yang memuaskan hati saya dan rakan sepasukan. 

            Akhir sekali, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada En. Abd Razak bin Mohd Nawi selaku pensyarah pembimbing EDU3053 Teknologi dalam Pendidikan, kepada ibu dan bapa saya yang tidak jemu mendoakan. Tidak lupa juga sahabat-sahabat yang banyak memberi semangat serta tunjuk ajar. Ilmu yang saya pelajari dalam penghasilan tugasan ini akan saya aplikasikan apabila berada di sekolah kelak. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment